SEKILAS SEJARAH
“Menjelaskan sejarah dari pelbagai sudut menjadikannya bukan sahaja lebih menarik, tetapi juga lebih benar.”
— John Hope Franklin, Sejarawan dan Penulis
Bandar Batu Pahat yang turut dikenali sebagai Bandar Penggaram mempunyai sejarah dan warisan budaya yang tersendiri. Bermula sebagai sebuah pekan pelabuhan, ianya kini bandar yang kedua terbesar di negeri Johor.
​
Pada zaman dahulu, Batu Pahat dikenali sebagai Pulau Kundur manakala Sungai Batu Pahat pula dikenali sebagai Sungai Kundur. Ketika itu, ianya terdiri daripada beberapa petempatan kecil yang dibuka secara berasingan orang-orang besar/berpangkat seperti Penghulu serta Ketua Kampung. Di bawah pemerintahan Sultan Hussain Shah yang bersemayam di Singapura dan Johor, dua orang ketua, seorang berketurunan Melayu Daik dan seorang lagi dari Simpang Kiri (bernama Rapang) dari keturunan Orang Besar Pahang telah menghadap Sultan Hussain untuk memohon kebenaran meneroka penempatan awal di Batu Pahat. Masing-masing dikurniakan taraf Penghulu di daerah Simpang Kanan dan Simpang Kiri pada tahun 1834.
Pada tahun 1885, beberapa orang keturunan Inggeris bernama Stiple, Jackson dan Watt telah membuka sebuah ladang kopi di Bukit Penggaram, berhampiran Pengkalan Jeram. Tauke yang mengerjakan ladang tersebut berjaya membina empat pintu rumah berdekatan dengan Sungai Batu Pahat.
​
Usaha-usaha untuk meneroka pekan Batu Pahat bertambah giat pada tahun 1888 oleh Dato' Yahya Bin Awaluddin (Dato' Yahya Tinggi) di suatu kawasan bernama Bukit Senangin, Kampung Tambak yang terletak di tebing kanan Sungai Batu Pahat. Bagaimanapun usaha beliau menemui kegagalan kerana faktor geografi dan ekonomi yang tidak sesuai. Malah menurut kepercayaan orang tua yang ada, di kawasan itu tidak boleh dijadikan bandar kerana akan dimasuki 'angin'. Akhirnya tempat itu ditinggalkan begitu sahaja. Cubaan Dato' Yahya Rendah untuk membuka bandar di kawasan Senangar pada tahun yang sama juga gagal - orang-orang tua pada masa itu menyatakan 'nanti mulut ternganga'.
​
Pada tahun 1889, Orang Kaya Sidek Bin Ismail telah membuka satu petempatan di seberang Kampung Minyak Beku yang berdekatan dengan Kampung Jakun dan kawasan tersebut dinamakan Benut Selamat. Tidak lama kemudian, namanya ditukar kepada Bagan. Ramai yang tertarik kepada tempat itu termasuklah para pendatang dari Pulau Jawa, Madura dan lain-lain. Orang Jawa yang diketuai oleh Haji Ibrahim telah membuka kebun-kebun kelapa dan kopi di kampung itu. Di antara orang yang terkenal di situ ialah Pawang Abu, Haji Arshad (Orang Melaka) dan Mohamed Tab (Orang Muar).
​
Kemajuan Bandar Maharani yang dibuka pada tahun 1884 mencabar keupayaan para Penghulu di Batu Pahat untuk membuka sebuah bandar, apatah lagi mengambil kira perkembangan pesat di kawasan-kawasan sekitar seperti Serum, Bertam, Tebing Tinggi, Kampung Sejagong, Langkap dan Chaah. Satu perjumpaan telah diadakan di Kuala Simpang yang terdiri daripada Orang-orang Kaya, para Penghulu, Menteri Penghulu dan Jenang-Jenang (gelaran bagi ketua orang asli) yang dipengerusikan oleh Encik Abdul Hamid Bin Ahmad, Ketua Pengaman Batu Pahat ketika itu. Mesyuarat tersebut mengambil keputusan untuk melantik Penghulu Rahmat Bin Ragam (Penghulu Simpang Kanan) dan Penghulu Kitam Bin Mohd. Shah (Penghulu Simpang Kiri) sebagai wakil untuk menghadap Sultan Abu Bakar. Harapan mereka adalah untuk memohon Dato' Bentara Luar Muhamad Salleh Bin Perang untuk merancang dan membuka sebuah bandar di Batu Pahat. Mereka berkeyakinan bahawa usaha membuka sebuah bandar kali ini berhasil.
Pada 4 November 1893, Dato' Muhamad Salleh yang pada masa itu mendiami di Kampung Senangar telah dipanggil ke Johor Bahru. Pada 11 November 1893, Sultan Abu Bakar telah bertitah kepada beliau untuk membuka bandar Batu Pahat itu. "Aku disusahkan oleh dua Penghulu Rahmat dan Kitam. Dua tiga kali berjumpa dengan aku minta engkau membuka Batu Pahat. Aku jawab dengan Rahmat dan Kitam, jangan engkau semuanya sumpah dan tidak ikut apa-apa perintah dia kelak. Dia jawab pada aku, tidak sekali-kali. Aku fikir bolehlah engkau buka Batu Pahat itu, mana-mana tempat anggaran engkau hendak jadikan Bandar..." titah Sultan Abu Bakar.
DYMM Almarhum Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim
Kedudukan tempat yang hendak dijadikan Bandar adalah kira-kira 15 kilometer dari kuala Sungai Batu Pahat, sebelah kanan tebing mudik sungai. Dato' Bentara Luar memilih kawasan ini kerana senang dan boleh merapatkan kapal-kapal besar yang dianggarkan dapat masuk ke sungai dengan membina sebuah dermaga bagi kemudahan perdagangan laut. Sungguhpun kawasan yang hendak dijadikan Bandar rendah, sering ditenggelami air masin sewaktu air pasang besar dari laut, kira-kira 2 kilometer ke darat tanahnya tinggi berbukit dan subur bagi tanam-tanaman. Dato' Bentara Luar membina rumah kediamannya di Kampung Penggaram yang bertentangan dengan Tasek Kadri untuk membuat kerja-kerja membuka bandar.
​
​
Pemandangan Tasik Kadri dan bangunan Sekolah Tinggi Batu Pahat (kiri) dan Kampung Penggaram (kanan) berlatar belakangkan Gunung Banang yang berdiri megah
“Budaya sesebuah bangsa itu bertakhta di dalam hati dan jiwa rakyatnya.”
— Mahatma Gandhi, Pejuang Kemerdekaan
Pada 2 Disember 1893, fakir menjalankan kerja menjalankan pekerjaan ukur-mengukur dari jalan kebun kopi ke Gunung Penggaram sampai ke Sungai Penggaram. Di tepi Sungai Penggaram itu fakir jadikan sebuah rumah atap tempat duduk fakir. Fakir jalankan pekerjaan membuat jalan dalam itu. Fakir mulakan menjalankan membuat rumah, pejabat, polis, mahkamah, dan tambak menambak batu di jalan. Kerja mengukur, merancang dan membangunkan pusat bandar pentadbiran daerah telah berjalan lancar dengan bantuan kuat dua orang penghulu itu termasuk perbelanjaan yang dipungut dari orang tempatan dan juga bantuan kewangan dari Orang Kaya Bagan serta kewangan Dato' Bentara Luar sendiri.
Pembukaan rasmi Bandar Batu Pahat telah dilakukan pada 1 Januari 1894 oleh Dato' Muhamad Salleh Bin Perang sendiri yang dihadiri oleh Orang-orang Kaya, penghulu-penghulu dan orang-orang kenamaan tempatan. Kemuncak majlis perasmian itu ialah istiadat menaikkan bendera negeri Johor di Bukit Penggaram yang sekarang menjadi tapak dan kawasan rumah kediaman Pegawai Daerah dan seterusnya bukit itu disebut orang Bukit Bendera hingga hari ini. Seterusnya selepas itu pegawai-pegawai tadbir pun disusun dan pejabat-pejabat kerajaan seperti mahkamah, polis, penjara, rumah sakit, dan lain-lain juga diwujudkan satu demi satu. Perkembangannya berjalan dengan baik dan lancar dan dalam masa sebulan sahaja jumlah hasil kutipan telah mencapai $1,500.00.
​
Pada 1 Disember 1894, diadakan satu majlis pengisytiharan menamakan bandar itu dengan nama Bandar Penggaram mengambil sempena nama Kampung Penggaram yang sedia ada di situ yang menjadi kampung kediaman Penghulu Rahmat. Selain diwujudkan sistem pentadbiran moden dengan pegawai-pegawai tadbir yang tertentu menggantikan sistem tradisional, Batu Pahat mula berkembang maju di mana Dato' Muhamad Salleh Bin Perang yang menjadi wakil Raja memerintah Batu Pahat, kemudiannya menjadi Pesuruhjaya Kerajaan, telah memainkan peranan yang amat aktif.
Orang-orang kampung telah digalakkan dan digesa membuka kebun untuk bercucuk tanam dan membuat parit tali air dan dalam masa yang sama pemodal-pemodal asing mula datang membuka kebun, ladang dan berniaga di Batu Pahat. Kebolehan Dato' Bentara Luar berbahasa Cina merupakan faktor menyebabkan beliau pada umumnya disukai oleh orang Cina dan faktor yang membawa kepada kemajuan ekonomi dan harmoni di daerah ini.
Pentadbiran Batu Pahat di bawah pimpinan Dato' Bentara Luar berjalan lancar dan mengagumkan, ini dinyatakan oleh Ungku Sulaiman bin Daud, Pesuruhjaya Besar (General Commisioner) Johor dalam rangka lawatan tugasnya di Batu Pahat pada 21hb. hingga 24hb. Disember 1896. Kemajuan ekonomi Batu Pahat dapat diukur berdasarkan pendapatan daerah yang didapati sepanjang tahun. Masa bandar ini dibangunkan dalam tahun 1893 pentadbiran daerah berjaya mengutip sejumlah $ 15,000.00 sahaja tetapi dalam tahun 1910 pendapatan tahunan mencapai jumlah $ 55,375.00.
Zaman Dato' Bentara Luar berakhir pada pertengahan tahun 1911 apabila Ungku Ahmad bin Ungku Muhamad Khalid dilantik menjadi Pesuruhjaya Kerajaan Batu Pahat menggantikan Dato' Bentara Luar. Batu Pahat mengalami zaman baru bila menjelma pula sistem pentadbiran yang seiringan dalam mana Pesuruhjaya Kerajaan Daerah berpadu dengan Penolong Penasihat berbangsa Inggeris untuk menjalankan pentadbiran.
Bandar Penggaram mendapat nama dari aktiviti nelayan yang menggaram ikan-ikan yang banyak ditangkap dan tidak laku dipasarkan. Ikan-ikan ini dijadikan ikan kering. Ia dikenali sebagai "Bandar Penggaram" yang bermaksud "bandar pembuat garam".
​
Manakala menurut sejarah, asal usul nama Batu Pahat ialah dari sebuah perigi batu yang dipahat oleh tentera Siam ketika dalam perjalanan hendak menyerang kerajaan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1456. Perigi inilah yang dinamakan perigi Batu Pahat. Perigi ini merupakan satu-satunya peninggalan sejarah yang masih wujud walaupun sudah berusia lebih lima abad. Ia terletak di kuala Sungai Batu Pahat, iaitu di Pantai Minyak Beku.
Bandar Penggaram mempunyai kira-kira 430 buah bangunan sebelum perang dengan rekabentuk fasad yang berciri gaya senibina (i) Electic, (ii) Gaya Awal Kolonial/Anglo India, dan (iii) Gaya Art Deco.
Dato' Muhammad Salleh Bin Perang
(Dato' Bentara Luar)
Sumber: Draf Rancangan Tempatan Daerah Batu Pahat 2030
(Penggantian)
FOTO LAMA
Bangunan Kelab Jepun Lama (Old Japanese Club) mendominasi latar langit di Bandar Penggaram pada zaman itu | Pemandangan sampan membawa penumpang dari Penambang Peserai ke Jeti Batu Pahat |
---|---|
Tasik Kadri merupakan satu-satunya tasik yang terletak di tengah-tengah pusat bandar Batu Pahat namun ia telahpun dikambus bagi memberi laluan kepada pembinaan padang dan stadium | Kedai di Jalan Shahbandar dengan beca dan kenderaan gaya klasik |
Askar Fiji pulang dari satu misi yang berjaya di Batu Pahat (Sumber: New Straits Times, 2022) | Imej asal Masjid Jamek Batu Pahat yang masih wujud sehingga sekarang |
Ekspatriat Eropah dan pegawai tinggi perkhidmatan awam Melayu sering bersosial di Kelab Batu Pahat ini pada tahun-tahun awal sebelum Perang Dunia ke-2 (Sumber: New Straits Times, 2022) | Perlombongan besi adalah sama pentingnya kepada ekonomi Batu Pahat sepertimana pertanian pada awal abad ke-20 (Sumber: Alan Teh Leam Seng) |
Jalan Penggaram adalah merupakan pusat perniagaan terpenting bagi penduduk Bandar Penggaram sebelum adanya pasaraya | |
Perkhidmatan feri di saat-saat akhir perkhidmatannya sehingga ia diambil alih oleh Jambatan Penggaram yang dibuka pada Julai 1967 | Perkhidmatan feri yang menghubungkan Jeti Batu Pahat dengan Jeti Peserai menjadi mod pengangkutan terpenting pada ketika itu |
Pemandangan warga Batu Pahat menggunakan perkhidmatan feri untuk menyeberangi Sg. Batu Pahat dengan kenderaan bersama mereka | Foto yang dirakam pada tahun 1968 ini menunjukkan Jalan Rahmat yang mempunyai lampu jalan dengan pemandangan pohon kelapa dan Bukit Penggaram di hujung jalan |
Jalan Ibrahim pada satu ketika sibuk dengan aktiviti perniagaan dengan lori memunggah barang-barang dengan pemandangan jelas di kejauhan menara jam Pasar Awam Batu Pahat yang berdiri megah | Pemandangan Jalan Penggaram yang meriah dengan aktiviti perniagaan borong dan runcit dengan pengayuh basikal dan gerai-gerai di sekitarnya |
Jalan Engan pada tahun 1967 dengan nama jalan diambil bersempena nama seorang kapten kapal Inggeris yang pernah berlabuh di Pelabuhan Batu Pahat | Deretan kedai dan pembawa kereta roda tiga di Jalan Rahmat, Batu Pahat |
Foto plaza tol Peserai dirakam pada 1 Ogos 1967 | |
Bas di Batu Pahat menggunakan model Albion Viking | Bas Johore Motor (atas) dan Bas Coastal (bawah) dari model Austin |
Bangunan kedai lama di No. 95-4 di Jalan Shahbandar, Batu Pahat yang berhampiran dengan pengkalan kerajaan. Nama restoran Jeng Kuan yang kini masih beroperasi di lokasi yang sama berkemungkinan hasil daripada legasi perniagaan yang diwarisi secara turun-temurun | |
Pemandagan dari udara Bandar Penggaram yang pesat membangun | Jalan Soga pada zaman dahulu |
Keadaan di Stesen Bas Batu Pahat ketika itu | Deretan kedai dan bangunan lama yang terdapat di pekan Parit Sulong |
Parit Sulong ketika zaman darurat |