top of page
BALIK BP IKON.png
IMG_20210823_142016.jpg
BP_edited.png

1919

19

SEKOLAH TINGGI BATU PAHAT

Packing for Vacation
Packing for Vacation

Sekolah Tinggi Batu Pahat telah diasaskan pada tahun 1914 di lokasi berhampiran yang terletak di Jalan Pejabat. Pada waktu itu, sekolah tersebut adalah sebuah sekolah yang merupakan sekolah Inggeris pertama di negeri Johor yang telah didirikan dengan nama Government English School (GES) terletak di kaki Bukit Bendera, yang kini menjadi tapak bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan gelanggang tenis di Jalan Pejabat. Bangunan sekolah itu hanyalah merupakan sebuah pondok papan yang berbumbungkan atap. Bangunan di tapak semasa mula dibina pada tahun 1918 dengan tahun persekolahan pertama bermula pada tahun 1919. Bangunan utama sekolah ini menempatkan pejabat pentadbiran sekolah yang juga dikenali sebagai 'white house' bagi warga sekolah ini.

Menurut sejarah, rumah pengetua hanya 300 kaki (100 ela) jauhnya tetapi dia terpaksa meredah ladang getah untuk sampai ke sekolah ini. Sekolah yang asalnya dinamakan Government English School (GES) mempunyai enrolmen seramai 40-50 orang pelajar. Selepas pendaftaran pelajar meningkat ke angka 200 orang, sebuah bangunan dua tingkat baharu yang terdiri daripada lapan bilik darjah telah dibina di tapak semasa dengan kos $60,000 Straits Dollars. Enrolmen ke sekolah ini terus meningkat dan blok baru yang menempatkan tiga makmal sains dan 10 bilik darjah telah dibina di belakang bangunan utama pada tahun 1924. Semasa pendudukan Jepun, bangunan utama dan rumah pengetua digunakan sebagai berek tentera oleh pemerintah Jepun manakala beberapa bilik darjah digunakan oleh Kempeitai (Polis Tentera Jepun) sehingga menimbulkan khabar angin tempat itu menyimpan seribu satu misteri.

Pada tahun 1955, Jabatan Pelajaran Johor telah menukar nama sekolah itu kepada Sekolah Menengah Kerajaan, memandangkan sekolah itu difokuskan semula untuk menyediakan pendidikan peringkat menengah. Sebelum ini GES hanya menyediakan pendidikan untuk pelajar-pelajar dari darjah satu (rendah) hinggalah darjah sembilan (menengah). Satu lagi pertukaran nama berlaku pada tahun 1957 menjadi High School Batu Pahat (HSBP) dan seterusnya dikenali juga sebagai Sekolah Tinggi Batu Pahat. Namun, pada era 2000, nama sekolah ini diselaraskan dengan menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Batu Pahat (SMKTBP) sehinggalah ke hari ini.

bottom of page