


07
RUMAH KEDAI JALAN PASAR

Deretan rumah kedai di bahagian kanan Jalan Pasar, Batu Pahat ini akan memukau sesiapa sahaja yang melalui jalan ini. Ia mempunyai ciri-ciri rekabentuk gaya electic dan gaya oriental manakala di hadapannya terdapat beberapa bangunan yang bergaya art deco. Deretan rumah kedai ini jelas memaparkan ukiran plaster timbul istimewa yang bermotifkan binatang pada dinding di permukaan fasad bangunan. Antara binatang yang terdapat pada ukiran timbul ini termasuklah harimau, burung, naga, merak, ikan, ayam, monyet, singa, gajah serta motif flora yang mengagumkan. Motif berbentuk haiwan ini tidak sama di antara satu unit dengan unit rumah kedai yang bersebelahan. Motif arca dinding (wall sculpture) berbentuk haiwan pada deretan bangunan di sini dan juga bangunan-bangunan lain yang terdapat di Bandar Penggaram boleh dianggap sebagai 'genius loci' (genius of a place) hasil kebijaksanaan pengukir dan jurubina bangunan pada zaman itu yang amat menitik beratkan keunikan imej dan identiti bandar ini.