top of page

tempat menarik

Perigi Batu Pahat

Menurut sejarah, asal usul nama Batu Pahat berasal dari sebuah perigi batu yang dipahat oleh tentera Siam setelah tewas dalam peperangan menyerang Melaka semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah III (1446-1459). Askar-askar Siam ini melarikan diri dan mereka dikejar oleh Bendahara Tun Perak (Bendahara Melaka) dan pengikut-pengikutnya hingga ke Muar. Semasa sampai di Batu Pahat askar-askar Siam ini telah memahat batu di kawasan yang mengalirkan air sehingga menjadi sebuah perigi. Tujuannya ialah untuk mengumpulkan air tawar untuk keperluan mereka semasa belayar. Selepas itu askar-askar Siam itu meneruskan perjalanan ke selatan Semenanjung Tanah Melayu melalui Singapura dan kembali ke Siam melalui Laut China Selatan. Perigi inilah yang dinamakan Perigi Batu Pahat. Nama daerah Batu Pahat adalah bersempena daripada peristiwa tersebut. Perigi ini terletak di Kuala Sungai Batu Pahat, iaitu di Kampung Minyak Beku.

Titik Koordinat: 1.79574, 102.88924

Pantai Minyak Beku

Tugu Batu Pahat

Tugu Batu Pahat menjadi salah satu mercu tanda ikonik bagi penduduk daerah ini di mana rekabentuknya diilhamkan daripada arca tangan yang sedang memahat batu. Tugu ini terletak di Dataran Penggaram di Jalan Rahmat dan telah dibangunkan pada tahun sekitar 1994 bersempena meraikan ulangtahun ke-100 bandar Batu Pahat yang dibuka oleh Dato' Mohd Salleh Bin Perang (Dato' Bentara Luar). Ia menggambarkan bagaimana Batu Pahat yang dahulunya sebagai sebuah penempatan yang kecil  berubah menjadi pusat pembangunan bandar yang pesat di negeri Johor dengan aktiviti ekonomi seperti industri pengeluaran tekstil, peralatan elektronik, produk berasaskan makanan, industri kecil dan sederhana (IKS) serta institusi pengajian tinggi yang terdapat di daerah ini.

Pantai Minyak Beku terletak kira-kira 8 kilometer dari bandar Batu Pahat (atau Bandar Penggaram). Di pinggir pantai ini terdapat sebuah perkampungan yang dikenali sebagai Kampung Minyak Beku yang dibuka oleh Daeng Ahmad pada 1818 yang turut menyimpan sejarah bagaimana wujudnya nama Minyak Beku. Mengikut sejarah, Daeng Ahmad berasal dari Sulawesi, Indonesia dan mudik di kawasan muara Kampung Minyak Beku untuk bertemu warisnya. Dia melihat kawasan ini agak sesuai untuk dibangunkan sebagai sebuah perkampungan. Oleh itu, dia kemudiannya belayar ke Temasik (Singapura) untuk mendapatkan kebenaran dan persetujuan daripada pihak pemerintah pada waktu itu untuk membuka kawasan di sini.

 

Ketika itu, kewujudan pokok keruing yang banyak di kawasan ini yang mana minyak daripada pokok itu boleh digunakan sebagai bahan untuk menyapu dinding rumah berikutan cat berwarna seperti hari ini masih belum wujud. 

Bagaimanapun, dikatakan perubahan cuaca menyebabkan minyak pokok ini tidak keluar seperti lazimnya dan membeku. Berikutan peristiwa ini Daeng Ahmad kemudian mencadangkan nama kawasan itu sebagai Minyak Beku dan berkekalan sehinggalah ke hari ini. Pantai Minyak Beku tidak asing lagi bagi penduduk di sekitar daerah ini berikutan pemandangan pantainya yang indah, selain boleh menjadi lokasi terbaik untuk menyaksikan matahari terbenam di ufuk barat.

Titik Koordinat: 1.79504, 102.88793

Titik Koordinat: 1.84761, 102.9348

bottom of page